Jata
Banner

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN SPR – DISEMBER 2014

PUTRAJAYA, 23 Disember – Perhimpunan Bulanan SPR bagi bulan Disember 2014 telah diadakan pada hari ini bertempat di Ruang Legar Aras 4. Setiausaha SPR, YBhg. Datuk Haji Abdul Ghani Salleh dalam ucapannya merakamkan ucapan takziah kepada Timbalan Setiausaha (Pengurusan), Encik Ikmalrudin Ishak di atas kembalinya isteri beliau ke rahmatullah akibat demam denggi. YBhg. Datuk Setiausaha juga turut menyentuh beberapa perkara berkaitan perpindahan ke bangunan baharu SPR. Beliau mengingatkan kakitangan, terutamanya Bahagian Teknologi Maklumat agar berhati-hati ketika proses perpindahan bagi mengelakkan kerosakan pada peralatan ICT. Selain itu, beliau memohon pihak-pihak yang berkenaan supaya dapat menyelesaikan isu kebajikan anak-anak kakitangan dengan segera di bangunan baharu nanti.

Di samping itu, YBhg. Datuk Setiausaha turut memaklumkan bahawa Mesyuarat MBJ telah memutuskan untuk memberi kebenaran kepada kakitangan SPR untuk turut sama dalam lawatan ke negara-negara ASEAN bagi melihat proses pilihan raya di luar negara. Beliau juga mengingatkan supaya kakitangan SPR serta keluarga tidak terbabit dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) dan berharap dapat memelihara keharmonian negara.

YBhg. Datuk Setiausaha juga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal kepada kakitangan yang beragama Kristian dan Selamat Tahun Baru kepada warga SPR serta mengingatkan agar semua kakitangan bersikap telus dalam melaksanakan tanggungjawab mereka supaya nama baik SPR terus dipertahankan dan dihormati.

Sebelum majlis berakhir, kakitangan yang menyambut ulang tahun kelahiran pada bulan Disember turut diraikan dengan acara potong kek.