Jata
Banner

SPR SERTAI SUKARELAWAN KHIDMAT KOMUNITI PASCA BANJIR JPM

PUTRAJAYA, 12 Januari – Seramai empat orang kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menyertai Kumpulan 2 program Sukarelawan Jabatan Perdana Menteri anjuran Prime Minister’s Club (PMO) dan Kelab Bukit Perdana untuk kerja-kerja khidmat komuniti pasca banjir di Perak dan Pahang pada hari ini. Majlis pelepasan di Dataran Putra telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Yang Berbahagia Tan Sri. Dr. Ali bin Hamsa. Kakitangan SPR yang terlibat dalam kumpulan sukarelawan ini adalah En. Muhamad Haikal bin Mohd. Fadzil; En. Mohd. Fizal bin Saman; Cik Intan Noratiqah binti Mohd. Yunus; dan En. Muhamad Azizul bin Abdullah. Program Sukarelawan Jabatan Perdana Menteri ini terbuka kepada semua penjawat awam serta ahli keluarga mereka, ahli-ahli persatuan/kelab, dan ahli-ahli badan-badan NGO. Sukarelawan khidmat komuniti pasca banjir ini dihantar ke kawasan-kawasan di Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan yang terjejas teruk akibat bencana banjir untuk membantu dalam kerja-kerja pembersihan di masjid, sekolah, hospital, dan premis awam; di samping memberikan sokongan moral kepada para penduduk yang menjadi mangsa banjir. Sukarelawan yang menyertai program selama seminggu ini telah dibahagikan kepada tiga kumpulan, dan Kumpulan 1 telah dihantar ke kawasan-kawasan terjejas banjir pada 5 Januari lalu. Turut hadir di majlis pelepasan sukarelawan Kumpulan 2 adalah Setiausaha SPR, Yang Berbahagia Datuk Haji Abdul Ghani bin Salleh; Timbalan Setiausaha (Operasi), Yang Berbahagia Datuk Haji Noordin bin Che Ngah; dan Timbalan Setiausaha (Strategik), En. Juhari bin Abdul Rahman. Kumpulan 3 akan berangkat ke negeri-negeri terjejas banjir pada 19 Januari ini.