Jata
Banner

 

  |  PERSEMPADANAN 
    


PERSEMPADANAN

 

PENGENALAN AM

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN "BAHAGIAN PILIHAN RAYA"?
 

Untuk memahami urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya (Kajian Semula Persempadanan) dengan lebih jelas, terlebih dahulu, kita perlu tahu tentang komponen-komponen yang terdapat dalam sesebuah Bahagian Pilihan Raya.

LOKALITI

Lokaliti adalah komponen paling kecil yang terdapat dalam Bahagian Pilihan Raya. Ia merupakan tempat tinggal sekumpulan orang tempatan yang mempunyai talian sosial yang jelas seperti kampung atau taman perumahan. Dalam urusan pendaftaran pemilih, lokaliti adalah asas bagi menentukan di mana seorang pemilih akan mengundi. Penentuan tersebut adalah berdasarkan alamat yang dinyatakan dalam kad pengenalan pemohon.

DAERAH MENGUNDI (DM)

Daerah Mengundi diwujudkan melalui satu atau lebih gabungan beberapa lokaliti. Ia bertujuan untuk menentukan Pusat-Pusat Mengundi bagi pemilih yang lokalitinya berada di dalam Daerah Mengundi tersebut.

BAHAGIAN PILIHAN RAYA

Bahagian Pilihan Raya terbahagi kepada 2 iaitu:

a) Bahagian Pilihan Raya Negeri (DUN) - Gabungan beberapa Daerah Mengundi akan membentuk satu DUN.
b) Bahagian Pilihan Raya Parlimen - Dua (2) atau lebih DUN apabila digabungkan akan membentuk satu (1) Bahagian Pilihan Raya Parlimen kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan hanya mempunyai Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan tiada DUN.

[Senarai Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan DUN] 

 



Contoh: 

  • Gambar menunjukkan dua (2) lokaliti dalam satu DM. Lokaliti tersebut adalah Taman Desa Indah dan Taman Intanova di Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.076 Telok Intan. 
  • Pemilih dan lokaliti yang digabungkan akan membentuk sebuah DM yang akan mengundi di sebuah Pusat Mengundi. 
  • Bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenal pasti lokaliti, DM dan Bahagian Pilihan Raya dengan mudah, SPR telah menyediakan sistem kod yang tertentu seperti yang berikut:

 

Contoh Cabutan Indeks Buku Daftar Pemilih yang diperakui pada 30 April 2014.

  • Setiap lokaliti yang diwujudkan akan dinyatakan dalam Indeks Buku Daftar Pemilih.
  • Sebagai contoh, lokaliti Taman Intanova dan jumlah pemilih di dalamnya tercatat secara jelas dalam Indeks Buku Daftar Pemilih bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.076 Telok Intan. 
  • Selain lokaliti Taman Intanova, semua lokaliti lain dalam Daerah Mengundi yang sama turut dinyatakan dalam buku daftar pemilih yang disediakan.

GAMBAR

Bahagian Pilihan Raya Parlimen  adalah bahagian yang disediakan untuk diwakili oleh seseorang Ahli Dewan Rakyat di Parlimen. Manakala, DUN disediakan bagi diwakili oleh seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Bagi setiap Bahagian Pilihan Raya Parlimen terdapat dua (2) atau lebih DUN. Contoh Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan DUN adalah seperti berikut: 


 
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN "URUSAN KAJIAN SEMULA PERSEMPADANAN"?
 

Malaysia mengamalkan sistem majoriti mudah ("First Past the Post") iaitu seorang wakil rakyat yang dipilih bagi setiap Bahagian Pilihan Raya ("Single Member Territorial Representation"). Bagi calon yang memperoleh undi terbanyak beliau dikira pemenang dan diisytiharkan sebagai wakil bagi Bahagian Pilihan Raya tersebut. 

Secara ringkasnya,urusan Kajian Semula Persempadanan merupakan suatu kajian dan semakan untuk melihat semula kesesuaian sempadan-sempadan Bahagian Pilihan Raya sedia ada, bagi memudahkan urusan pentadbiran pilihan raya dan pendaftaran pemilih di masa akan datang.

Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan secara jelas memberikan kuasa kepada SPR untuk menetapkan sempadan-sempadan setiap Bahagian Pilihan Raya di negara ini. Untuk urusan Kajian Semula Persempadanan, negara telah dibahagikan kepada tiga unit berasingan  mengikut undang-undang Fasal (6) Perkara 113 iaitu:

a) Unit Negeri-Negeri Tanah Melayu;
b) Unit Negeri Sabah;dan 
c) Unit Negeri Sarawak.

 

TAHUKAH ANDA ?

Gambarajah unit-unit Kajian Semula Persempadanan. Unit-unit Negeri-Negeri Tanah Melayu (A), Unit Negeri Sabah (B) dan Unit Negeri Sarawak (C).  

BILA URUSAN KAJIAN SEMULA PERSEMPADANAN BOLEH DIMULAKAN?
 

Carta Urusan Kajian Semula Persempadanan Bermula Mengikut Keadaan

PERSEMPADANAN BAHAGIAN

APAKAH PRINSIP-PRINSIP ASAS YANG DIAMBIL KIRA DALAM MELAKSANAKAN URUSAN KAJIAN SEMULA PERSEMPADANAN ?
 
Objektif asas aktiviti Kajian Semula Persempadanan adalah bagi memberikan kemudahan kepada pengundi. Terdapat beberapa prinsip yang seboleh-bolehnya diambil kira oleh SPR semasa menyediakan draf cadangan sempadan-sempadan Bahagian Pilihan Raya yang baru. Prinsip-prinsip tersebut sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 2 Bahagian I Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan adalah seperti berikut:-
  i)  

Disamping mengambil perhatian tentang wajarnya semua pemilih diberi peluang yang semunasabahnya mudah untuk pergi mengundi, Bahagian-Bahagian Pilihan Raya patutlah disempadankan supaya tidak merentasi sempadan Negeri dan patutlah juga diberikan perhatian kepada kesulitan bahagian pilihan raya Negeri merentasi sempadan Bahagian-Bahagian  Pilihan Raya Persekutuan

Mengikut "Single Member Territorial Representation", setiap sempadan Bahagian Pilihan Raya yang ingin diwakili perlu ditetapkan terlebih dahulu. Bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen, sempadan yang dibuat tidak boleh melangkaui sempadan negeri yang lain. Sebagai contoh, sempadan Bahagian Pilihan Raya Parlimen di negeri Perak tidak boleh melangkaui sehingga memasuki negeri Selangor. Manakala bagi DUN, sempadannya tidak boleh berada di dalam dua Parlimen yang berbeza. Sebagai contoh, sempadan DUN Pasir Berdamar yang berada di dalam Parlimen Teluk Intan tidak boleh berada di dalam Parlimen Teluk Intan dan Parlimen Bagan Datoh.


  ii)  

Perhatian patutlah diberikan kepada kemudahan pentadbiran yang boleh didapati di dalam Bahagian Pilihan Raya itu bagi mengadakan jentera pendaftaran dan pengundian yang perlu

Dalam membuat sempadan Bahagian Pilihan Raya, kemudahan warganegara untuk mendaftar sebagai pemilih dan mengundi semasa pilihan raya adalah merupakan antara kriteria utama dalam pewujudan dan penetapan sempadan baru. Sebelum sebarang cadangan pindaan dibuat, SPR sentiasa cuba memastikan bahawa terdapat kelengkapan infrastruktur dan fasiliti yang sesuai bagi menguruskan aktiviti pendaftaran pemilih dan pilihan raya di Bahagian Pilihan Raya tersebut. Sebagai contoh, Pejabat Pos sebagai pusat pendaftaran,dewan-dewan/balai raya sebagai tempat pameran rang daftar pemilih serta bangunan sekolah sebagai Pusat Mengundi serta kemudahan-kemudahan asas yang lain wujud dalam Bahagian Pilihan Raya tersebut. Dalam hal ini, sempadan pentadbiran daerah juga di ambil kira agar setiap Bahagian Pilihan Raya terlibat dalam daerah pentadbiran yang berada di bawah kelolaan Ketua Pentadbiran Daerah/Jajahan/Bahagian yang sama supaya segala urusan pendaftaran pemilih, penjalanan pilihan raya dan jentera pengundian dijalankan dengan lebih lancar dan teratur.


  iii)  

Bilangan pemilih di dalam setiap Bahagian Pilihan Raya di dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh Bahagian-Bahagian Pilihan Raya di luar bandar, ukuran pewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada Bahagian-Bahagian Pilihan Raya

Secara dasarnya, setiap pemilih akan mengundi berdasarkan Bahagian Pilihan Raya yang telah ditetapkan kepada mereka. Namun begitu, jumlah pemilih dalam sesuatu Negeri yang lebih kurang sama banyak turut mengambil kira faktor-faktor seperti kesulitan/kesukaran perhubungan, pengangkutan, keluasan kawasan, demografi serta bentuk geografi. Setiap negeri adalah unik dan berbeza dari segi demografi, keluasan kawasan dan bentuk geografi. Setiap satu negeri tidak boleh disamakan atau dibandingkan dengan negeri yang lain. 

Sebagai contoh, taburan pemilih di kawasan Bahagian Pilihan Raya Parlimen P108 Shah Alam tidak boleh disamakan dengan Bahagian Pilihan Raya Parlimen P216 Hulu Rajang. Ini kerana, walaupun keluasan kawasan Bahagian Pilihan Raya P108 Shah Alam adalah lebih kecil daripada luas kawasan Bahagian Pilihan Raya P216 Hulu Rajang dan jumlah pemilih di Shah Alam juga adalah lebih ramai, pemilih di Shah Alam mempunyai kemudahan infrastruktur dan komunikasi yang lebih banyak dan canggih berbanding pemilih di Bahagian Pilihan Raya Hulu Rajang.   

PARLIMEN LUAS KAWASAN 

BILANGAN PEMILIH

(berdasarkan Daftar Pemilih yang diperakui pada 30 April 2013)

P108 Shah Alam 153.68km2 101,670
P216 Hulu Rajang 31,472Km2

22,184


Faktor sebegini sebenarnya yang mendorong SPR untuk menyediakan sempadan Bahagian Pilihan Raya yang berbeza dari segi keluasan dan jumlah pemilih. Pada kebiasaannya, bagi kawasan-kawasan yang luas ia mempunyai jumlah pemilih yang kecil begitu juga sebaliknya. Ini dilakukan supaya ianya menjadi lebih adil dari segi pengurusan pilihan raya.

  iv)  

Perhatian patutlah diberikan kepada kesulitan yang akan timbul dengan perubahan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya, dan kepada pemeliharaan hubungan tempatan.

Dalam mempertimbangkan penetapan sempadan Bahagian Pilihan Raya, SPR akan menitik beratkan elemen hubungan tempatan. Hubungan tempatan bermaksud jalinan hubungan kemasyarakatan dalam kawasan setempat seperti kampung dan taman perumahan. Sebarang garisan sempadan yang dilakarkan oleh SPR seboleh-bolehnya tidak memisahkan hubungan masyarakat antara kawasan yang terlibat. 

Selain itu, sempadan Pentadbiran Daerah juga perlu diambil kira. Kebiasaannya, sebarang isu dan permasalahan di peringkat tempatan akan diuruskan oleh penguasa tempatan iaitu Pegawai Daerah/Jajahan/Residen. Dari sudut penyelarasan kerja juga, pegawai-pegawai ini merupakan autoriti yang besar dan mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan pegawai-pegawai di peringkat daerah. Sehubungan dengan itu, bagi tujuan memudahkan urusan pentadbiran pilihan raya, faktor sebegini  turut perlu diambil kira sewajarnya.


     

URUSAN KAJIAN SEMULA PERSEMPADANAN BOLEH MEMBAWA KEPADA

TAHUKAH ANDA?

UNDANG-UNDANG BERKAITAN URUSAN KAJIAN SEMULA PERSEMPADANAN

STATISTIK PERTAMBAHAN BILANGAN BAHAGIAN PILIHAN RAYA PARLIMEN DAN DUN MENGIKUT TAHUN  

       
PROSES URUSAN KAJIAN SEMULA PERSEMPADANAN
 
PERSIAPAN AWAL DI PERINGKAT SPR 

Sebelum urusan Kajian Semula Persempadanan dimulakan secara rasmi, SPR akan memulakan kerja-kerja pengumpulan maklumat dan membuat analisa bagi tujuan penyediaan draf awal syor Kajian Semula Persempadanan. Di bawah Fasal (2) Perkara 115 Perlembagaan Persekutuan bagi persediaan Kajian Semula Persempadanan ini, SPR perlu mendapatkan bantuan dan khidmat pakar daripada 2 orang pegawai awam iaitu Jabatan Perangkaan Malaysia dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).  Pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia berperanan menyediakan maklumat berkaitan taburan penduduk dan pegawai JUPEM berperanan dalam urusan berkaitan topografi. Pegawai-pegawai yang dilantik ini hendaklah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. 

                                

 

Setelah itu, Urus Setia SPR di peringkat negeri akan memulakan kerja-kerja pengumpulan maklumat bagi tujuan penyediaan draf cadangan. Jabatan Perangkaan dan JUPEM akan membantu dalam membekalkan maklumat yang diperlukan. Semua maklumat yang telah dikumpulkan akan disemak dan diteliti secara keseluruhan untuk dianalisa bagi menyediakan syor awal Kajian Semula Persempadanan. 

MAKLUMAT-MAKLUMAT YANG DIPERLUKAN SEMASA PENYEDIAAN DRAF SYOR KAJIAN SEMULA PERSEMPADANAN 

1)Taburan pemilih berdaftar mengikut Bahagian Pilihan Raya sedia ada

2)Peta-peta sempadan pentadbiran

3)Ukuran keluasan kawasan cadangan persempadanan

4)Data-data mengenai pembangunan kawasan

5)Pembangunan infrastruktur

APAKAH YANG DIGUNAKAN SEBAGAI "SEMPADAN"? 

Sempadan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya dibentuk melalui penetapan daripada sesuatu yang boleh dilihat secara jelas dan nyata seperti bukit, jalan raya dan sungai serta sempadan lain seperti sempadan lot tanah, daerah atau negeri.    

               

 * Tatacara Urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya 

 

 MAKLUMAT MENGENAI SIASATAN TEMPATAN

                       

  • • Prosiding Siasatan Tempatan akan dikendalikan dalam bahasa rasmi (Bahasa Malaysia).
  • • Setiap kumpulan pembantah perlulah melantik jurucakap (maksimum 3 orang) yang terdiri dari kalangan mereka sendiri.
  • • Pembantah tidak dibenarkan diwakili peguam luar dalam memberi keterangan, kecuali peguam berkenaan adalah salah seorang daripada 100 orang nama pembantah yang nama mereka ditunjukkan di dalam daftar pemilih semasa Bahagian Pilihan Raya berkenaan.
  • • Jurucakap yang akan memberi keterangan perlu hadir di tempat Siasatan Tempatan 30 minit sebelum prosiding dimulakan.
  • • Urus setia membaca bantahan yang dikemukakan dan menjemput wakil jurucakap untuk mengemukakan bantahan dan keterangan.

        

         

  • • Pembantah perlu mengangkat sumpah sebelum membentangkan bantahan.
  • • Setiap kumpulan akan diberi masa selama 30 minit untuk menjelaskan alasan-alasan mengapa mereka membuat bantahan terhadap cadangan persempadanan SPR.
  • • Segala perbincangan semasa Siasatan Tempatan diadakan hanya perlu ditumpukan kepada perkara yang dibantah sahaja.
  • • Sekiranya pembantah tidak dapat hadir untuk Siasatan Tempatan, mereka boleh mengemukakan alasan-alasan bantahan secara bertulis kepada SPR sekurang-kurangnya 3 hari sebelum tarikh Siasatan Tempatan diadakan.
  • • Kumpulan pembantah yang hadir perlu berpakaian kemas, bersikap rasional dan mematuhi segala arahan yang diberikan oleh Urus Setia SPR.

 

  • • Penggunaan kamera dan telefon bimbit adalah tidak dibenarkan semasa prosiding dijalankan.
  • • Keputusan Siasatan Tempatan tidak akan dimaklumkan semasa sesi pendengaran. Keputusan Siasatan Tempatan kali pertama akan dimaklumkan melalui pameran kali kedua.
  • • Keputusan Siasatan Tempatan kali kedua akan dimasukkan dalam Laporan Akhir Cadangan Persempadanan SPR yang akan dibentangkan dalam Dewan Rakyat.

       

KEDUDUKAN BILIK SIASATAN TEMPATAN 

 

PENGEMASKINIAN DAERAH MENGUNDI

BIDANG KUASA  
       
Urusan Pengemaskinian Daerah Mengundi adalah diperuntukkan mengikut Seksyen 7, Akta Pilihan Raya, 1958 (Akta 19) yang menjelaskan seperti berikut :
" 7.(1) Dengan seberapa segera yang boleh selepas sesuatu bahagian pilihan raya dipersempadankan mengikut Perlembagaan, dan selepas daripada itu apabila mana-mana bahagian pilihan raya diubah atau suatu bahagian pilihan raya baru diwujudkan, Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah :-
       
   a) Membahagi setiap bahagian pilihan raya kepada daerah mengundi; 
   b) Menguntukkan kepada setiap daerah mengundi suatu huruf atau huruf-huruf pengenalan atau nombor pengenalan atau kedua-duanya; 
   c) Menetapkan pusat atau pusat-pusat akan ditubuhkan pusat atau pusat-pusat mengundi bagi daerah itu; dan 
   d) Menyiarkan dalam Warta suatu notis yang menentukan:
    (i) Daerah-daerah mengundi yang mengikutnya bahagian pilihan raya itu telah dibahagi;
    (ii) Huruf atau huruf-huruf pengenalan atau nombor pengenalan atau kedua-duanya yang diperuntukkan kepada setiap daerah mengundi; dan
    (iii) Pusat atau pusat-pusat yang telah ditetapkan untuk penubuhan pusat atau pusat-pusat mengundi bagi setiap daerah mengundi.
       
DASAR BELAH BAHAGI    
 
(i) Jumlah pengundi bagi sesuatu Daerah Mengundi seboleh-bolehnya tidak melebihi 3,850 orang; dan
       
(ii) Satu Daerah Mengundi seboleh-bolehnya mempunyai sebuah pusat mengundi.
       
TUJUAN BELAH BAHAGI DAN MENGEMASKINIKAN DAERAH-DAERAH MENGUNDI
     
  (i) Bagi memudahkan penjalanan pilihan raya seperti mengelakkan kesesakan; 
  (ii) Memudahkan pendaftaran pemilih dan penyemakan daftar-daftar pemilih;
  (iii) Memudahkan penentuan tempat atau tempat-tempat membuang undi; dan
  (iv) Mendekatkan pemilih dengan pusat mengundi.
     
PRINSIP-PRINSIP MEMBELAH BAHAGI
       
  Bilangan Pemilih  
  Jumlah pengundi bagi sesuatu Daerah Mengundi seboleh-bolehnya tidak melebihi 3,850 orang.    
  Sempadan Daerah Mengundi
  Sempadan Daerah Mengundi ditetapkan melalui penetapan daripada sesuatu yang boleh dilihat secara jelas dan nyata seperti bukit, jalan raya dan sungai serta sempadan lain seperti sempadan lot tanah, mukim, daerah atau Negeri.
  Lokaliti
  Merupakan unit terkecil dalam daerah mengundi. Pemecahan sesuatu lokaliti dalam urusan belah bahagi hendaklah dilakukan dengan tujuan untuk mengelakkan kesulitan pada pemilih/pengundi, bagi menentukan di dalam daerah mengundi manakah mereka berada.
       
  Saiz Daerah Mengundi
  Tiada ukuran saiz dalam menentukan keluasan sesuatu daerah mengundi. Pada amnya, saiz daerah mengundi di kawasan bandar adalah lebih kecil daripada di kawasan luar bandar.
       
  Pusat Mengundi
  Semasa urusan pengemaskinian Daerah Mengundi dijalankan, tindakan diambil bagi memastikan sekurang-kurangnya wujud satu pusat mengundi di dalam setiap daerah mengundi. Bagi daerah mengundi yang tidak mempunyai bangunan yang sesuai untuk dijadikan tempat mengundi, bangsal-bangsal sementara boleh didirikan. Walau bagaimanapun, keadaan khas seumpama ini hendaklah dihadkan bilangannya dengan seberapa yang boleh.
       
  Sempadan Bahagian Pilihan Raya
  Urusan pengemaskinian Daerah-Daerah Mengundi adalah ditumpukan dan terhad dalam satu-satu Bahagian Pilihan Raya Negeri sahaja. Oleh itu, urusan pengemaskinian Daerah-Daerah mengundi adalah TIDAK BOLEH SAMA SEKALI melampaui sempadan Bahagian Pilihan Raya Negeri apatah lagi parlimen termasuklah urusan untuk tujuan mencatumkan 2 daerah mengundi yang kecil atau sebahagiannya yang terletak di sempadan 2 Bahagian Pilihan Raya yang berlainan.
       
  Mengkaji Daerah Mengundi Dalam Kawasan Pembangunan
  Kajian ke atas kawasan-kawasan pembangunan khususnya perumahan baru perlu dibuat terlebih awal agar sesuatu daerah mengundi itu nanti tidak akan bertambah pemilihnya terlalu ramai dengan tiba-tiba apabila kawasan perumahan yang baru itu mula didiami.
       
JENIS URUSAN PENGEMASKINIAN DAERAH MENGUNDI
       
  JENIS I  
  Sesuatu daerah mengundi dibelah bahagikan untuk mewujudkan satu atau lebih daerah mengundi baru.
       
  JENIS II
  Sesuatu daerah mengundi dicantumkan dengan satu atau lebih daerah mengundi yang lain. Pencantuman ini melibatkan kekurangan daerah mengundi.
       
  JENIS III
  Meminda sempadan di antara daerah-daerah mengundi yang bersempadanan yang melibatkan perpindahan lokaliti-lokaliti dan pemilih-pemilih. Jenis ini tidak melibatkan pertambahan daerah mengundi.
       
  JENIS IV
  Meminda sempadan daerah mengundi yang tidak melibatkan sebarang perpindahan lokaliti dan pemilih.
       
  JENIS Va
  Membetulkan kedudukan lokaliti berdasarkan kedudukan sebenar pemilih.
       
  JENIS Vb
  Meminda atau menukar nama dan / atau kod daerah mengundi.