Jata
Banner
 |  SOALAN LAZIM : PENGUNDI HANTU


SOALAN LAZIM : PENGUNDI HANTU

 

1 Q: Apakah yang dimaksudkan dengan pengundi hantu?
  A: Istilah sebenar pengundi hantu bermaksud, pengundi yang datang untuk membuang undi di tempat mengundi dengan menggunakan Kad Pengenalan palsu atas nama pengundi lain yang berdaftar dalam daftar pemilih SPR. Penipuan dan penyamaran seperti ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan boleh dihukum penjara tidak kurang 2 tahun atau didenda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
     
2 Q: Adakah wujud pengundi hantu dalam daftar pemilih SPR?
  A: Istilah pengundi hantu sebenarnya tidak benar dan telah dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu. Hakikatnya, terdapat segelintir pemilih berdaftar yang telah berpindah dan tidak lagi bermastautin di kawasan di mana mereka telah mendaftar sebagai pemilih. Pemilih-pemilih berdaftar ini hanya pulang ke kawasan berkenaan dalam tempoh empat atau lima tahun, berkemungkinan penduduk-penduduk di kawasan berkenaan tidak lagi mengenali pemilih tersebut dan seterusnya membuat tanggapan dan dakwaan bahawa pemilih tersebut adalah pengundi hantu, sedangkan hakikatnya mereka ini adalah pemilih berdaftar yang sah dari segi undang-undang.
     
3 Q: Apakah usaha-usaha SPR bagi memastikan Daftar Pemilih SPR bersih daripada pengundi hantu?
  A: SPR telah dan sentiasa menjalankan pelbagai usaha secara berterusan bagi memastikan Daftar Pemilih Induk bersih dan kemas kini, terutamanya daripada senarai mereka yang telah meninggal dunia yang seringkali dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu sebagai Pengundi Hantu. SPR telah menghantar pasukan penyemak ke balai-balai polis di seluruh negara bagi mendapatkan salinan permit mengubur bagi mengesahkan seseorang itu telah meninggal dunia. SPR juga menerusi Program Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan di seluruh negara sentiasa mengeluarkan pengumuman supaya waris pemilih yang telah meninggal dunia mengemukakan salinan sijil kematian waris mereka kepada SPR bagi tujuan pembersihan DPI. Bagi negeri Sarawak, SPR telah menghantar pasukan penyemaknya ke rumah-rumah panjang untuk mengenalpasti mana-mana anggota masyarakat rumah panjang yang telah meninggal dunia tetapi tidak dilaporkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara.
     
4 Q: Adakah pemilih berdaftar yang balik pada hari mengundi untuk mengundi di tempat mengundi di mana dia mendaftar dianggap sebagai Pengundi Hantu?
  A: Pengundi berdaftar yang balik untuk mengundi di tempat mengundi di mana namanya berdaftar dalam Daftar Pemilih SPR adalah bukan pengundi hantu. Seseorang pengundi dijamin haknya di bawah Perlembagaan untuk mengundi jika namanya terdapat dalam Daftar Pemilih di tempat mengundi berkenaan.