PENYEDIAAN DAN PENYERAHAN DAFTAR PEMILIH PILIHAN RAYA (DPPR) UNTUK KEGUNAAN PILIHAN RAYA KECIL DEWAN NEGERI N.48 AYER KUNING, PERAK
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) untuk kegunaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri N.48 Ayer Kuning, Perak telah disediakan oleh Bahagian Pendaftaran Pemilih bermula pada 4 hingga 17 Mac 2025. DPPR tersebut adalah berdasarkan daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Januari 2025 (DPT BLN1/2025) yang dikemaskini sehingga 22 Februari 2025.
DPPR ini mengandungi seramai 31,897 orang pemilih yang terdiri daripada 31,315 orang pengundi biasa serta 582 orang anggota Polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).
DPPR bagi PRK Dewan Negeri N.48 Ayer Kuning, Perak telah diserahkan kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri (PPN) Perak pada 21 Mac 2025.