MESYUARAT PERMULAAN PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI 2025 DI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA SEGAMAT DAN MAJLIS PELUNCURAN PROGRAM OLEH YAB PERDANA MENTERI
Program Sekolah Angkat MADANI yang merupakan inisiatif whole of government menyasarkan sekolah yang terpilih untuk projek/program dengan skop melibatkan pembaikan kecil infrastruktur, program bimbingan guru dan pelajar serta pemberian aset agar dapat memanfaatkan warga sekolah sekaligus meningkatkan kualiti penyampaian Kerajaan. Pada tahun ini, kerajaan menyasarkan penglibatan sebanyak 200 sekolah seluruh negara yang diterajui oleh semua Ketua Setiausaha, Ketua Perkhidmatan dan Ketua Pengarah selain kerjasama dari Government Linked Companies (GLC), Government Linked Investment Companies (GLIC) serta sektor korporat swasta bagi menjayakan program ini.
Oleh itu, pada 6 Mei 2025, satu sesi lawatan dan mesyuarat permulaan antara Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat telah diadakan bagi membincangkan pengisian Program Sekolah Angkat MADANI 2025. Mesyuarat permulaan antara wakil SPR bersama pihak SMKA Segamat ini telah mengenalpasti beberapa potensi dan keperluan sekolah termasuklah pembaikan infrastruktur bangunan sekolah, program kecemerlangan pelajar dan pembelian peralatan alat bantu mengajar/belajar. Satu majlis penyerahan antara pihak SPR dan pihak sekolah angkat dirancang untuk diadakan dalam bulan Julai sebagai permulaan pelaksanaan program ini.
Pada 20 Jun 2025 pula, Majlis Peluncuran Program Sekolah Angkat MADANI 2025 telah diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) yang disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim. Majlis yang diadakan ini sebagai simbolik permulaan program secara rasmi telah merekod penglibatan sebanyak 1000 sekolah angkat terpilih seluruh negara turut dihadiri oleh wakil Kementerian, Jabatan, Agensi dan wakil-wakil sekolah serta wakil-wakil daripada GLC dan GLIC.