15 Januari 2026 06:26 AM

PERUTUSAN

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan rahmat-Nya. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada para pengunjung ke Portal Rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). Tahniah dan syabas diucapkan kepada pasukan pengurusan portal yang sentiasa berusaha menambah baik portal ini agar dapat memenuhi keperluan pengguna dengan lebih berkesan.

Portal ini merupakan platform utama SPR dalam menyampaikan maklumat yang tepat, terkini dan telus kepada rakyat Malaysia sejajar dengan komitmen kami untuk memperkukuhkan sistem demokrasi negara. SPR bukan sahaja berperanan sebagai pengurus pilihan raya, malah sebagai institusi yang turut bertanggungjawab mendidik rakyat mengenai kepentingan proses demokrasi dan hak mengundi.

Sebagai sebuah institusi yang diamanahkan untuk menguruskan pilihan raya, SPR komited memastikan setiap proses pilihan raya dilaksanakan dengan adil, telus dan profesional. Kami menyedari bahawa pilihan raya bukan sekadar proses pemilihan pemimpin, tetapi juga lambang kedaulatan rakyat dan asas kepada sistem negara demokratik.

Portal ini berperanan penting sebagai jambatan komunikasi yang telus, boleh dipercayai, dan berguna kepada masyarakat. Melaluinya, orang ramai boleh mengakses maklumat berkaitan daftar pemilih, proses pengundian, keputusan pilihan raya serta pelbagai inisiatif semasa yang dilaksanakan oleh SPR.

Sebagai Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terus menyokong usaha kami dalam memperkukuhkan amalan demokrasi di Malaysia. Kejayaan sesebuah pilihan raya bukanlah tanggungjawab SPR semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama dan sokongan seluruh rakyat Malaysia.

Akhir kata, adalah menjadi harapan saya agar portal rasmi ini dapat menjadi medium komunikasi berkesan antara SPR dan pengguna, di samping menyampaikan maklumat terkini mengenai fungsi dan peranan SPR. Semoga perkongsian maklumat yang tersedia dapat mendekatkan masyarakat kepada proses demokrasi dan pilihan raya yang dijalankan secara adil, telus, dan berkredibiliti.

Selamat melayari Portal Rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.

Sekian, terima kasih.

Datuk Khairul Shahril bin Idrus
Setiausaha
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia