PENJALANAN PILIHAN RAYA
Apakah yang melayakkan seseorang untuk keluar mengundi?
Warganegara Malaysia yang layak yang telah berdaftar sebagai pemilih dan namanya terdapat dalam Daftar Pemilih yang digunakan dalam pilihan raya.
Berapakah jumlah wang deposit pilihan raya yang perlu dibayar untuk bertanding bagi Parlimen dan DUN?
Jumlah deposit adalah seperti berikut:
- RM 10,000 untuk deposit calon Parlimen
- RM 5,000 untuk deposit bahan kempen Parlimen
- RM 5,000 untuk deposit calon DUN
- RM 3,000 untuk deposit bahan kempen DUN
Bagi seseorang calon yang ingin bertanding untuk kawasan DUN dan Parlimen, perlukah dia membayar kedua-dua deposit calon untuk DUN dan Parlimen?
Ya, calon yang ingin bertanding bagi DUN dan Parlimen perlu membayar deposit calon bagi DUN sebanyak RM 5,000 dan deposit calon bagi Parlimen sebanyak RM 10,000.
Di mana calon patut membayar deposit dan berapa jumlah bayaran?
Kedua-dua deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen boleh dibayar di Pusat Penamaan Calon atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Bahagian Pilihan Raya berkenaan. Jumlah deposit berkenaan adalah seperti berikut :
- Deposit Pilihan Raya :- Parlimen : RM 10,000
DUN : RM 5,000 - Deposit Bahan Kempen :- Parlimen : RM 5,000
DUN : RM 3,000
Di manakah pusat penamaan calon dan pukul berapa penamaan calon dibuka?
Pusat penamaan calon biasanya ditetapkan di Pejabat-pejabat Daerah, Majlis Perbandaran, Majlis Daerah, Dewan Orang Ramai, bangunan-bangunan sekolah atau tempat-tempat tertentu yang difikirkan sesuai oleh SPR. Penyerahan Kertas Penamaan Calon dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi.
Bagaimanakah cara untuk seseorang pemilih berdaftar membuat semakan untuk mengetahui tempat mengundi yang betul untuknya?
Pemilih yang berdaftar dengan SPR boleh membuat semakan melalui Portal Rasmi SPR di alamat www.spr.gov.my, atau menghubungi Ibu Pejabat SPR di Putrajaya (03-8892 7018) atau Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri atau melalui portal MySPR Semak di pautan berikut: https://mysprsemak.spr.gov.my/
Mengapakah sesetengah pusat mengundi mempunyai beberapa saluran?
Pusat Mengundi (sama ada bangunan sekolah, dewan, balai raya, khemah atau sebagainya) mempunyai beberapa Tempat Mengundi (saluran) untuk menampung jumlah pengundi berdaftar yang ramai di kawasan tersebut. Setiap Tempat Mengundi (saluran) bagi pengundi biasa, SPR menetapkan tidak lebih daripada 750 nama pengundi. Dengan cara ini, masalah kesesakan di sesuatu saluran dapat dikawal dan para pengundi tidak perlu menunggu lama untuk membuang undi. Manakala bagi Tempat Mengundi (saluran) yang dikhaskan kepada warga emas dan OKU, jumlah pengundi bagi satu-satu saluran tersebut adalah tidak melebihi 450 orang.
Bilakah bermulanya waktu membuang undi?
Pada hari pengundian, masa untuk mengundi bagi kebanyakan Tempat Mengundi (saluran) ialah dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang di Semenjung Malaysia dan 7.30 pagi hingga 5.30 petang di Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, terdapat juga saluran yang ditutup lebih awal bergantung kepada keadaan geografi, jumlah pengundi dan faktor-faktor lain.
Apakah dokumen yang perlu di bawa untuk membuang undi?
Dokumen yang diperlukan ialah Kad Pengenalan sama ada My Kad atau Kad Pengenalan lama sama ada KPT atau Kad Pengenalan Plastik Biru. Jika kehilangan Kad Pengenalan, pemilih berdaftar juga boleh mengemukakan Resit JPN.KP 9 atau Resit JPN.KP11 yang disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Dokumen-dokumen lain yang boleh diterima sebagai bukti pengenalan diri ialah :
- Pasport Malaysia Terhad
- Pasport Malaysia
- Lesen Memandu yang bergambar
- Kad Rasmi Pengenalan Diri yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa kerajaan yang mengandungi nama, nombor Kad Pengenalan dan gambar pemegangnya.
Bagi pemilih yang telah mengetahui nombor saluran Tempat Mengundi, adakah perlu menyerah semula di barung SPR?
Pada hari pengundian, pemilih yang telah mengetahui nombor saluran tempat mengundi tidak perlu berbaris di barung untuk menyemak nombor salurannya. Beliau hendaklah terus ke saluran yang berkenaan dan menunggu gilirannya untuk mengundi.
Bilakah boleh dituntut deposit pilihan raya?
- Deposit pilihan raya boleh dituntut selepas Keputusan Pilihan Raya diisytiharkan oleh Pegawai Pengurus jika calon memperolehi lebih daripada 1/8 dari jumlah undi yang diterima oleh calon-calon yang bertanding.
- Deposit bahan kempen boleh dituntut selepas semua bahan kempen dibersihkan oleh calon terbabit dan disahkan oleh pihak berkuasa tempatan yang berkenaan.
Adakah SPR menyediakan saluran khas di tempat mengundi untuk warga tua, orang kurang upaya dan wanita mengandung?
Pada hari pengundian, SPR menyediakan saluran khas, iaitu Saluran 1 untuk warga emas. Manakala bagi wanita yang mengandung dan pengundi kurang upaya, Ketua Tempat Mengundi diberi kuasa untuk memberi keutamaan kepada mereka untuk masuk ke tempat mengundi supaya mereka tidak perlu menunggu lama di luar.
Seseorang ingin bertanding untuk DUN dan Parlimen di mana tempat penamaan calon adalah 2 tempat yang berbeza dan berjauhan. Bagaimanakah cara mengatasinya?
SPR akan sedaya upaya memastikan dalam pilihan raya serentak yang melibatkan parlimen dan DUN, pusat penamaan calon akan ditetapkan di tempat (bangunan) yang sama. Walau bagaimanapun, jika ia terpaksa dibuat di dua tempat yang berbeza, jika tidak dapat hadir sendiri, Kertas Penamaan boleh diserahkan oleh pencadang atau penyokongnya atau oleh kedua-dua mereka.
Orang ingin mengundi tetapi namanya telah di tanda sebagai telah pun keluar mengundi?
Beliau tidak boleh mengundi.
Adakah seseorang boleh menggunakan Kad Pengenalan orang lain untuk mengundi?
Tidak dibenarkan.
Kenapa elaun petugas pilihan raya lambat diterima?
Pejabat Pilihan Raya Negeri perlu memproses bayaran mengikut prosedur kewangan yang ditetapkan oleh Perbendaharaan. Kelewatan boleh berlaku bilamana terdapat kesilapan maklumat No. Akaun atau No. Kad Pengenalan atau Nama Petugas.
Sekiranya seseorang tidak dibenarkan membuang undi, di manakah beliau sepatutnya membuat laporan?
Laporan boleh di buat di Balai Polis berdekatan.
Bolehkah orang mengundi bagi pihak orang lain?
Tidak boleh, Walau bagaimanapun, dalam kes tertentu yang melibatkan pengundi cacat penglihatan, pengundi perlu ditemani oleh seorang yang dipercayai oleh pengundi untuk membantunya untuk memangkah kertas undi dengan syarat orang itu perlu mengisi Borang 10 terlebih dahulu.
Kenapa penggunaan pen tidak dibenarkan untuk menandakan kertas undi?
Penggunaan pen dibenarkan tetapi bagi memudahkan pengundi maka disediakan pen di tempat mengundi.
Jika seseorang pengundi telah menandakan kertas undi sehingga di luar petak undi, adakah kertas undi tersebut diterima?
Kertas undi tersebut boleh diterima selagi niat pemilih untuk memilih calon pilihannya adalah jelas ditanda didalam petak yang dikhaskan.
Bolehkah orang yang mendaftar di Sabah dan Sarawak tetapi bermastautin di Semenanjung memohon mengundi secara pos?
Tidak boleh kecuali mereka yang tertakluk di bawah Peraturan 3(1)(a)-(f), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya ( Pengundian Pos ) 2003.
PERSEMPADANAN
Apakah yang dimaksudkan dengan urusan Kajian Semula Persempadanan?
Urusan Kajian Semula Persempadanan merupakan suatu kajian dan semakan untuk melihat semula kesesuaian sempadan-sempadan Bahagian Pilihan Raya sedia ada bagi memudahkan urusan pentadbiran pilihan raya dan pendaftaran pemilih di masa akan datang.
Apakah yang membentuk sesuatu Bahagian Pilihan Raya?
A: Bahagian Pilihan Raya adalah terdiri daripada komponen-komponen seperti berikut:
- Lokaliti
Merupakan komponen terkecil yang terdapat dalam Bahagian Pilihan Raya. Ia merupakan tempat tinggal sekumpulan orang tempatan yang mempunyai talian sosial yang jelas seperti kampung atau taman perumahan. Dalam urusan pendaftaran pemilih, lokaliti adalah asas bagi menentukan di mana seorang pemilih akan mengundi. Penentuan tersebut adalah berdasarkan alamat yang dinyatakan dalam Kad Pengenalan pemohon. - Daerah Mengundi
Daerah Mengundi diwujudkan melalui satu atau gabungan beberapa lokaliti. Ia bertujuan untuk menentukan Pusat-Pusat Mengundi bagi pemilih yang lokalitinya berada di dalam Daerah Mengundi tersebut. - Bahagian Pilihan Raya Negeri
Gabungan beberapa Daerah Mengundi akan membentuk satu Bahagian Pilihan Raya Negeri atau juga dikenali sebagai kawasan DUN - Bahagian Pilihan Raya Persekutuan
Dua atau lebih Bahagian Pilihan Raya Negeri apabila digabungkan akan membentuk satu Bahagian Pilihan Raya Persekutuan kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang hanya mempunyai Bahagian Pilihan Raya Persekutuan sahaja dan tiada Bahagian Pilihan Raya Negeri. Bahagian Pilihan Raya Persekutuan juga dikenali sebagai kawasan Parlimen.
Bila urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya boleh dimulakan?
A: Urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya boleh dimulakan berdasarkan keadaan seperti berikut:
- Tidak kurang daripada tempoh lat 8 tahun daripada tarikh siap urusan Kajian Semula Persempadanan sebelumnya; atau
- Terdapat pindaan terhadap undang-undang iaitu apabila Perlembagaan Persekutuan atau Undang-Undang Tubuh Negeri dipinda, sama ada untuk menambah/mengurangkan bilangan kerusi dewan atau pewujudan wilayah baharu contohnya pembentukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Berapa lamakah tempoh sesuatu urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya dijalankan?
A: Urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya yang dilaksanakan di bawah peruntukan Perkara 113 (2) Perlembagaan Persekutuan hendaklah disiapkan dalam tempoh tidak melebihi dua (2) tahun dari tarikh Notis Kajian Semula Persempadanan disiarkan. Walau bagaimanapun, bagi urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya yang dilaksanakan mengikut peruntukan Perkara 113 (3A) Perlembagaan Persekutuan iaitu apabila terdapat pindaan undang-undang berhubung bilangan kerusi Dewan Rakyat atau kerusi Dewan Undangan Negeri sebelum cukup lat tempoh 8 tahun, maka Kajian Semula Persempadanan tersebut hendaklah disiapkan dalam tempoh tidak melebihi 2 tahun dari tarikh kuatkuasa undang-undang tersebut.
Apakah prinsip-prinsip asas yang diambil kira dalam melaksanakan urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya?
A: Prinsip-prinsip yang diambil kira dalam melaksanakan urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya adalah seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 2, Bahagian I, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan iaitu:
- Kemudahan diadakan bagi pemilih-pemilih mengundi semasa pilihan raya dan bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri;
- Mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian;
- Jumlah pemilih yang seimbang bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesuatu Negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan pengangkutan yang dihadapi di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan; dan
- Memelihara hubungan tempatan.
Apakah yang digunakan sebagai “sempadan” Bahagian-Bahagian Pilihan Raya?
A: Sempadan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya dibentuk melalui penetapan daripada sesuatu yang boleh dilihat secara jelas dan nyata seperti bukit, jalan raya dan sungai serta sempadan lain seperti sempadan lot tanah, mukim, daerah atau negeri.
Berapa lamakah syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya akan dipamerkan untuk orang ramai?
A: Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya akan dipamerkan selama satu bulan di tempat-tempat yang dinyatakan dalam notis warta yang turut disiarkan di dalam akhbar.
Apakah tujuan pameran syor tersebut?
A: Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya dipamerkan untuk semakan dan representasi oleh pihak-pihak yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.
Siapakah yang dibenarkan untuk membuat representasi dalam urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya?
A: Berdasarkan peruntukan Seksyen 5, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan, pihak yang dibenarkan untuk membuat representasi adalah:
- Kerajaan Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya yang tersentuh oleh syor itu; dan
- Sekumpulan orang seramai 100 orang atau lebih yang nama mereka ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya yang berkenaan.
Adakah syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya yang disediakan oleh SPR akan berkuatkuasa serta merta setelah ianya disiapkan?
A: Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya yang disediakan oleh SPR hendaklah dibentang dan diluluskan di dalam Dewan Rakyat (dengan sokongan lebih daripada separuh ahli Dewan) dan ia hanya akan berkuatkuasa setelah Perintah Persempadanan berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Bilakah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya yang baharu boleh digunakan dalam Pilihan Raya?
A: Berdasarkan peruntukan Seksyen 12, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan, Bahagian-Bahagian Pilihan Raya yang baharu hanya boleh digunakan di dalam pilihan raya selepas pembubaran Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
Berapakah jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri dan Persekutuan seluruh Malaysia yang berkuatkuasa pada masa ini?
A: Pada masa ini, jumlah Bahagian Pilihan Raya Persekutuan yang berkuatkuasa adalah sebanyak 222 bahagian, manakala Bahagian Pilihan Raya Negeri pula adalah sebanyak 600 bahagian.