KANGAR, 7 Ogos 2026 – Pejabat Pilihan Raya Negeri (PPN) Perlis dan Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Negeri Perlis terus memperkukuh jalinan kerjasama strategik menerusi siri kunjungan hormat serta mesyuarat teknikal bagi memuktamadkan sempadan bahagian pilihan raya di negeri ini.
Langkah pengukuhan hubungan antara agensi ini dimulakan menerusi kunjung hormat PPN Perlis ke JUPEM Negeri Perlis pada 16 Julai 2026 bertempat di Pejabat JUPEM Perlis yang dihadiri oleh Pengarah Pejabat Pilihan Raya Negeri Perlis YBrs. Siti Rahayu binti Ahmad Rusli, Timbalan Pengarah Encik Abdul Wahid bin Zainal dan delegasi dari PPN Perlis. Sesi tersebut bertujuan mengeratkan hubungan kerja serta meneliti penambahbaikan persempadanan dan pemetaan bagi kawasan pilihan raya.
Kunjungan balas seterusnya menyusul menerusi kunjung hormat JUPEM Negeri Perlis ke PPN Perlis pada 7 Ogos 2026 bertempat di Pejabat Pilihan Raya Negeri Perlis, yang diadakan sempena Mesyuarat Memuktamadkan Pelan Warta (UPDM) 2026 yang dihadiri oleh Pengarah Ukur dan Pemetaan Ybrs. LSr Mohd Khairani bin Md Yusop dan delegasi dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Perlis.
Kerjasama erat antara PPN Perlis dan JUPEM Perlis ini mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua pihak dalam memastikan pengurusan data pilihan raya sentiasa dikemas kini, tepat, dan berintegriti demi kelancaran proses demokrasi di peringkat negeri.









